Modernis & Liberalis: Pintu yang Meruntuhkan Agama.

Modernis & Liberalis: Pintu yang Meruntuhkan Agama.
.
.
1. Jika ditinjau isu-isu yang dibawa golongan Liberalis dan Modernis kita akan dapat melihat golongan ini adalah golongan yang paling merbahaya dalam meruntuhkan agama dan ketaqwaan manusia. Contoh yang paling jelas merekalah golongan yang berada di saf paling hadapan mengajak masyarakat membenci hijab, niqab, mempertikaikan autoriti As-Sunnah dan ijmak, menghalalkan apa yang Allah haramkan dan sebagainya atas alasan “Fiqh Taysir” atau “Talfiq Mazhab” atau atas alasan mengambil rukhsah yang hakikatnya jika diteliti ia bukanlah menepati konsep taysir atau mengambil rukhsah yang benar namun ia hanyalah bentuk Tatabbu’ Rukhas dan Tasahhul (sikap bermudah-mudahan) dalam agama.
.
.
2. Ulama dan Fuqaha’ telah membezakan antara mengambil rukhsah dan tatabbu’ rukhas. Mengambil rukhsah dan keringanan dalam Syarak mereka maksudkan sebagai mengambil keringanan yang DIIZINKAN ALLAH dan ia adalah rukhsah yang muktabar datang petunjuk dari Syarak sebagai bentuk keringanan terhadap mukallaf, memudahkan hukum dan pengamalan serta menolak masyaqqah dan kesusahan. Contohnya: Rukhsah tayammum bagi mereka yang tidak boleh menggunakan air atau tidak mendapati air, memakan bangkai ketika darurat, rukhsah solat qasar bagi musafir dan banyak lagi contoh yang dibahaskan dalam kitab-kitab fiqh.
.
.
3. Tatabbu’ Rukhas pula ditakrifkan oleh sebahagian Ulama antaranya Badruddin Al-Zarkasyi sebagai: اختيار المرء من كل مذهب ما هو الأهوان عليه ” Seseorang individu memilih pendapat dari setiap mazhab yang paling mudah baginya” atau sebagaimana yang ditaqrir oleh Majma’ Fiqh Al-Duali sebagai mengambil ijtihad mazhab yang membenarkan sesuatu berlawanan pula dengan ijtihad lain yang melarangnya. Jika diteliti faktor paling ketara mereka (baca-Modernis dan Liberalis) memilih pendapat yang paling mudah dalam sesuatu isu bukanlah didorong oleh faktor kekuatan dalil dan hujjah, atau faktor taqwa dan warak akan tetapi ia hanyalah didorong oleh hawa nafsu dan kehendak peribadi atau kumpulan tertentu dan juga berpunca dari faktor kejahilan.
.
.
4. Talfiq Mazhab pula secara umumnya bermaksud Talfiq, yaitu mendatangkan suatu cara (dalam ibadah atau muamalah) yang tidak pernah dinyatakan oleh ulama mujtahid. Maksudnya, bertaklid kepada mazhab-mazhab serta mengambil (menggabungkan) dua pendapat atau lebih dalam satu masalah, yang memiliki rukun-rukun dan cabang-cabang, sehingga memunculkan suatu perkara gabungan yang tidak pernah dinyatakan oleh seorang pun (dari para imam mujtahid). Para Ulama berbeza dalam menentukan hukum Talfiq Mazhab ini, dikalangan mereka ada yang membenarkan secara mutlak dan ada yang tidak membenarkan secara mutlak dan ada juga yang membenarkannya dengan syarat. Yang sahih ia dibenarkan mengikut syarat-syarat sebagaimana dinyatakan oleh Al-Qarafi, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Ibnul Qayyim dan Syeikh Abd Rahman Al-Mu’allimi. Antara syarat yang dikenakan mereka adalah Talfiq Mazhab tidak membawa kepada mengambil rukhsah yang terlarang seperti menghalalkan arak atas alasan Abu Hanifah menghalalkan nabiz, atau membolehkan nikah tanpa wali beralasan dengan pendapat Abu Hanifah dan Imam Malik yang tak mensyaratkan persaksian dan hanya cukup memaklumkan pernikahan. Syarat berikutnya pendapat yang ditalfiq itu tidak boleh jelas-jelas bertentangan dengan nas dan Ijmak Ulama atau melazimkan hal tersebut.
.
.
5. Tatabbu’ Rukhas pula jika kita spesifikkan lagi ia ternyata lebih luas daripada semata-mata mengambil rukhsah atau talfiq mazhab. Ia merangkumi mengambil dan mengikut ketergelinciran dan kesalahan Ulama dalam sesuatu isu atau mengambil pendapat yang syaz dalam sesuatu isu yang sudah disepakati. Hukum tatabu’ rukhas adalah haram dengan ijmak sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Hazm, Ibnu Abdil Bar, Abul Walid Al-Baji Al-Syafi’i, Ibnu Solah, Ibnu An-Najaar Al-Hanbali dan ramai lagi.
.
.
6. Jika ditinjau perkataan Salaf mentahzir perbuatan tatabu’ rukhas dan bermudah-mudah dalam fatwa atau mengambil kesalahan dan ketergelinciran Ulama ini kita akan dapati mereka sangat keras mentahzir hal tersebut. Antaranya:

– Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab RA:

ثلاثة يهدمن الدين : زلة العالم، وجدال المنافق، وأئمة المضلون

“Tiga perkara yang akan meruntuhkan agama: Ketergelinciran Alim, perdebatan orang munafik dan imam-imam yang menyesatkan”

– Sulaiman Al-Taimi:

لو أخذت برخصة كل عالم اجتمع فيك الشر كله

” Jikalau kamu mengambil rukhsah (keringanan dan kesalahan) setiap alim akan terhimpunlah pada dirimu seluruh keburukan ”

– Imam Al-Auzaie:

من أخذ بنوادر العلماء خرج من الاسلام

“Barangsiapa mengambil keganjilan pendapat Ulama dia akan terkeluar dari Islam”

Dan ramai lagi.
.
.
7. Apa yang ditakuti hari ini, golongan Modernis dan Liberalis telah menempuh metodologi yang sangat merbahaya dan sudah ditahzir oleh Ulama Salaf ini, iaitu sikap bermudah-mudahan dalam berfatwa, mengambil pendapat yang syaz, ketergelincirian Ulama dipromosi sebagai Khilaf yang perlu dirai. Kita akan dapati hatta pendapat yang menyelisihi nas Al-Quran dan Al-Sunnah dan ijmak sekalipun mereka sanggup mempromosi dan mengangkatnya atas alasan ia adalah khilaf dan perlu saling hormat menghormati. Implikasi negatif yang kita perlu hadapi dari sikap ini adalah lahirnya umat yang tidak ada rasa warak, kurang, longgar dan ringan agama serta maruahnya seterusnya hanya membuka jalan mudah bagi golongan Liberal dan musuh-musuh Islam menyesatkan Umat Islam dengan cara yang lebih halus. Kata Imam Al-Zahabi rahimahullah:

من تتبع الرخص المذاهب وزلات المجتهدين فقد رق دينه

” Barangsiapa yang mencari-cari dan mengikuti keringanan setiap mazhab dan ketergelinciran mujtahidin maka sesungguhnya kuranglah/nipislah agamanya”

Semoga Allah selamatkan kita semua dari kebejatan golongan ini.
.
.
– Ustaz Muhammad Fashan Ahmad Ziadi –
.
.
SHARE
.
[ ADMIN ]