|

MASJIDIL HARAM: EMPAT MIHRAB

– Pengajaran

Gambar-gambar yang disertakan di sini ialah gambar-gambar lama Masjidilharam, Makkah semasa musim haji tahun 1953, kira-kira 70 tahun yang lalu.

Jelas Masjidilharam telah melalui banyak perubahan sejak itu di mana bangunannya telah diluaskan manakala kemudahan asasnya dinaik taraf dan dimodenkan.

Menariknya, kelihatan antara gambar ini di sekeliling Kaabah ada empat buah bangunan kecil (mihrab).

Ramai mungkin tidak tahu sejarahnya malah barangkali pertama kali melihatnya.

Setiap satu bangunan kecil ini mewakili salah satu daripada empat mazhab fiqah yang utama dalam Islam; Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali.

Sedar atau tidak, ini merupakan keadaan sebahagian besar umat Islam sejak sekian lama di mana mereka bukan sahaja melihat diri mereka Muslim tetapi menisbahkan diri kepada salah satu daripada empat mazhab fiqah ini sehingga ke tahap taasub dan fanatik.

Hasilnya antara lain mereka solat secara berasingan di mana setiap pengikut mazhab solat di belakang imam mazhab masing-masing secara bergilir-gilir.

Maka setiap solat fardu lima waktu di Masjidilharam akan dilaksanakan sebanyak empat kali terutamanya apabila tiba musim haji bagi meraikan jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia daripada kalangan penganut keempat-empat mazhab.

Bayangkan, apabila tiba waktu solat lalu iqamat dikumandangkan maka ada daripada kalangan jemaah dalam masjid yang berkata sesama mereka “Iqamat ini bukan untuk (mazhab) kita!” lalu mereka duduk-duduk di bahagian belakang masjid menanti giliran untuk solat.

Semestinya amalan ini bertentangan sama sekali dengan ajaran agama yang menekankan persaudaraan antara sesama Muslim dan mewajibkan Muslim berdiri sama teguh dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Firman Allah ﷻ:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara saudara kamu (yang bertelingkah) itu.”

[Al-Quran, al-Hujurat, 49: 10]

Di samping menekankan persaudaraan agama, umat Islam dilarang berpecah belah.

Firman Allah ﷻ:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْ.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.”

[Al-Quran, Aali Imran, 15 Julai 2022]

Malah Allah ﷻ mengingatkan bahawa berpecah-belah merupakan sifat orang-orang musyrikin yang suka berbalah sampai jadi berpuak-puak lalu masing-masing berbangga dengan puak masing-masing.

Firman Allah ﷻ:

وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗاۖ كُلُّ حِزۡبِۢ بِمَا لَدَيۡهِمۡ فَرِحُونَ.

“Dan janganlah kamu tergolong dalam kalangan orang-orang musyrikin. Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing lalu mereka menjadi berpuak-puak; setiap puak bergembira dengan apa yang ada pada puaknya.”

[Al-Quran, al-Rum, 30: 31-32]

——————-

Cara Berinteraksi dengan Mazhab:

BERPEGANG KEPADA NAS; CARA BERINTERAKSI DENGAN MAZHAB

——————-

CATATAN

Dahulu buat sekian lama para pengikut mazhab Hanafi tidak membenarkan anak mereka berkahwin dengan pengikut mazhab Syafii kerana orang-orang Syafii mengharuskan ucapan ‘Aku beriman insya-Allah’ sedangkan mazhab Hanafi tidak membenarkannya kerana ia tanda orangnya tidak yakin dengan imannya sedangkan itu kekufuran. Lalu datang seorang ulama besar mazhab Hanafi meleraikan kekusutan ini dengan mengharuskannya atas alasan kias harusnya berkahwin dengan perempuan ahli kitab.

Inilah bahana taasub.

——————-

Syukur alhamdulillah kini keempat-empat mihrab ini sudah tiada lagi dan umat Islam dapat mendirikan solat fardu lima waktu bersama-sama di Masjidilharam dalam satu jemaah, yang barangkali merupakan jemaah paling ramai di dunia.

Idris bin Sulaiman
Kajang
16 Zulhijah 1443H /
16 Julai 2022

Similar Posts

  • |

    TAHUN BAHARU MASIHI

    Muslim tidak menyambut tahun baharu Masihi. Tahun baharu Masihi berkait rapat dengan agama Kristian dan berasal usul daripada kepercayaan pagan. Masihi merujuk kepada kelahiran Nabi Isa alaihissalam. Dalam bahasa Inggeris kalendar Masihi dikenali sebagai ‘Gregorian calender’ nisbah kepada Paus Gregory ke XIII yang memperkenalkannya pada tahun 1582. Bulan Januari pula…

  • |

    RATAP KEMATIAN: SI MATI TERSEKSA DENGAN TANGISAN KELUARGA

    Meratap (niyahah) ialah menangis dengan mengangkat suara atau menjerit, mengeluh akibat terlalu sedih dengan kematian seseorang. Demikian termasuklah perbuatan mengoyak pakaian, memukul muka atau badan, menarik rambut dan sebagainya. Semuanya termasuk dalam erti meratap yang dilarang agama dan termasuk dalam dosa besar. Daripada Abu Saeed al-Khudri, katanya: ‌لَيْسَ ‌مِنَّا ‌مَنْ…

  • |

    JANGAN DUDUK DENGAN PEROKOK

    Duduk bersama orang yang sedang merokok adalah haram. Wajib ‘mufaraqah’ dan meninggalkannya kerana jika tidak maka perbuatan duduk bersamanya dikira sebagai sokongan dan perakuan terhadap perbuatan haram yang dilakukan. Rokok adalah haram berdasarkan dalil-dalil yang melarangnya. Justeru jika ada orang yang hendak merokok maka sebaiknya dia dinasihati terlebih dahulu secara…

  • |

    MEMPERKECILKAN DOSA

    – Jangan dilihat kecilnya dosa tetapi lihatlah Maha BesarNya Tuhan Memperkecilkan dosa menunjukkan rasa kurang takut kepada Allah ﷻ. Ia merupakan antara sifat orang fasik dan munafik. Ini berbeza dengan orang Mukmin yang takut berdosa dan melihat sekecil-kecil dosanya sebagai sesuatu yang besar. Ia menunjukkan kesempurnaan rasa takutnya kepada Allah…

  • |

    WAHABI: GELARAN DARI ORANG BANKRAP HUJAH

    Apabila tidak dapat balas hujah maka mereka bertindak melemparkan gelaran ‘buruk’ ini kepada lawan. Tujuannya untuk mencemarkan nama baik di samping menimbulkan kesangsian dan keraguan orang ramai terhadap lawannya itu. Senjata ampuh menurutnya. Walhal ini bukan cara yang diajar oleh Islam. Hujah sepatutnya dibalas dengan hujah dan sebarang perselisihan perlu…

  • VIDEO RAKAMAN: MAKMUM KELIRU MENEGUR BACAAN IMAM

    – Berpada-pada memberi pendapat – Beza dalil qat’i dan zhanni Rakaman menunjukkan saat imam membaca ayat 13, surah Hud lalu salah seorang makmum di belakangnya menegur bacaannya tetapi tidak diendahkan oleh imam. Makmum itu berkali-kali menegurnya tetapi imam tetap teguh dengan bacaannya. Ternyata bacaan sang imam benar manakala makmum itu…