| |

KUBUR atau MAKAM?

– Penggunaan istilah ‘makam’ bagi kubur
– Kesyirikan di ‘Makam’ Syeikh Ahmad al-Badawi, Mesir

Istilah makam berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kedudukan, martabat, tempat dan seumpamanya.

Dalam bahasa Melayu pula makam antaranya diertikan sebagai kubur orang yang dihormati seperti nabi, para wali, keluarga diraja dan sebagainya.

Menariknya, istilah makam ini turut digunakan dalam tasawuf merujuk kepada kedudukan istimewa yang dinikmati oleh ahli tasawuf melalui jalan-jalan tertentu seperti dengan sifat warak, zuhud, sabar, tawakal, reda dan yang lain.

Perlu ditegaskan di sini bahawa penggunaan istilah makam dengan erti kubur tiada didapati dalam mana-mana nas Al-Quran atau hadis Nabi ﷺ. Sebaliknya perkataan yang digunakan dalam kedua-duanya ialah kubur.

Contohnya sabda Nabi ﷺ:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ ‌زِيَارَةِ ‌الْقُبُورِ أَلَا فَزُورُوهَا، فَإِنَّهُ يُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ، وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا.

“Dahulu aku melarang kalian menziarahi KUBUR tetapi sekarang ziarahilah ia (kerana) sesungguhnya ia dapat melunakkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan tentang Hari Akhirat. (Akan tetapi) janganlah kalian berkata hal-hal yang buruk.”

[Sahih. Riwayat al-Hakim]

ISTILAH MAKAM BAGI KUBUR

Bagaimana pula dengan istilah makam dengan erti ‘kubur orang yang dihormati’?

Jika diamati penggunaan istilah makam di atas ia boleh membawa kepada dua kesimpulan; yang pertama sampingan manakala yang kedua kritikal.

Definisi ‘kubur orang yang dihormati’ bagi makam memberi konotasi bahawa terdapat di antara kubur-kubur orang Islam yang tidak dihormati malah majoriti kubur-kubur orang Islam akan dikategorikan begitu setelah dikecualikan kubur para nabi, wali dan keluarga diraja.

Kesimpulan sebegini jelas batil kerana setiap kubur Muslim wajib dihormati.

Dihormati dengan tidak melangkah ataupun duduk di atasnya di samping melepaskan kedua-dua alas kaki apabila memasuki kawasan perkuburan.

Ini sebagaimana dalam hadis Jabir r.a., katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ ‌يُجَصَّصَ ‌الْقَبْرُ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ.

“Rasulullah ﷺ melarang perbuatan menyimen kubur, membuat binaan ataupun duduk di atasnya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Dalam satu peristiwa Nabi ﷺ melihat seorang lelaki memasuki kawasan perkuburan dengan memakai sandal lalu baginda ﷺ bersabda:

يَا صَاحِبَ السِّبْتِيَّتَيْنِ، أَلْقِ ‌سِبْتِيَّتَيْكَ.

“Wahai orang yang memakai sandal, lepaskan kedua-dua sandalmu.”

[Sahih. Abu Daud]

Ini berkenaan kesimpulan yang pertama.

Kesimpulan yang kedua pula agak kritikal kerana jika dibandingkan antara maksud makam dalam bahasa Melayu dengan maksudnya dalam bahasa Arab maka ia memberi bayangan seolah-olah si mati telah mendapat ‘kedudukan dan martabat yang istimewa’ sesudah dia meninggal dunia khususnya jika kuburnya dibuat binaan, disimen, dicat dan diletakkan hiasan-hiasan seperti lampu-lampu, bunga-bunga, kain-kain permaidani dan sebagainya.

Perlu ditegaskan di sini bahawa amalan-amalan ini bukan sahaja menyalahi syarak dan membuka pintu khurafat malah boleh menjerumuskan orang ramai yang mendatangi kubur-kubur ini kepada kesyirikan.

Ironinya istilah ‘naik makam’ digunakan bagi orang yang hidup apabila dia mempunyai sifat-sifat seperti warak, zuhud, sabar, tawakal dan reda tetapi bagi sesetengah yang lain istilah makam diberi bagi merujuk kepada kubur mereka.

Dengan kata lain, sewaktu hidup orangnya belum ‘naik makam’ tetapi sejurus selepas mati dia mendapat kedudukan istimewa tersebut.

KESIMPULAN

Sebetulnya tidak ada istilah ‘makam’ bagi kubur.

Apatah lagi dengan adanya fahaman sebahagian kelompok yang mendakwa bahawa ada makam-makam kubur tertentu yang penghuninya boleh membantu orang hidup.

Fahaman ini sangat keliru dan menyalahi akidah Islam yang murni.

Apa yang benar ialah sebaliknya bahawa orang-orang yang mati itulah yang memerlukan bantuan orang-orang yang hidup bagi mendoakan kesejahteraan mereka.

Malah ini yang diperintahkan oleh syariat buat kaum Muslimin secara amnya [Al-Quran, al-Hasyr, 59:10] dan apabila menziarahi perkuburan Islam secara khasnya sebagaimana yang Nabi ﷺ ajarkan kepada para Sahabat supaya mengucapkan:

السَّلَامُ ‌عَلَيْكُمْ ‌أهلَ الدِّيَارِ مِنَ المُؤْمِنينَ وَالمُسلمينَ، وَإنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ للَاحِقونَ، أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ العَافِيَةَ.

“Keselamatan atas kamu semua wahai para penghuni kubur daripada kalangan Mukminin dan Muslimin. Kami dengan izin Allah akan mengikuti jejak kamu semua. Aku memohon daripada Allah kesejahteraan buat diriku dan kamu semua.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Justeru penggunaan istilah ‘makam’ bagi kubur sebaiknya dielakkan kerana tanpa sedar tersirat secara halus di sebaliknya khurafat yang boleh mengundang kesyirikan.

CATATAN

Video yang dilampirkan menunjukkan kesyirikan yang berlaku di ‘Makam’ Syeikh Ahmad al-Badawi, Mesir di mana seorang wanita Arab dalam keadaan teramat sedih dan tertekan berteriak “Sembuhkan anak aku wahai pemuka orang Arab (Syeikh Ahmad al-Badawi)!” lalu ditegur oleh seorang lelaki yang berkata kepadanya “Kata wahai Tuhan (bukan wahai pemuka Arab). Tuhan yang akan menyembuhkannya dan menyembuhkan sesiapa sahaja!”

Semoga Allah memelihara kita dan keluarga kita daripada kesyirikan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
05 Muharam 1444H /
03 Ogos 2022

Similar Posts

  • MINTA TOLONG DENGAN POKOK?

    – Istianah (Meminta Pertolongan) – Minta tolong dengan makhluk Tular sebuah video di mana seorang ustaz berkata: “Meminta tolong dengan makhluk itu dibolehkan asalkan kita beriktikad yang memberi ialah Allah (maka) boleh kita ‘istianah’ dengan pokok (dan) minta tolong dengan pokok.” Tambah beliau: “Tapi dengan syarat kamu yakin yang memberi…

  • | |

    SIKAP ASYAIRAH TERHADAP DALIL AL-QURAN & AL-SUNAH

    Berikut ialah tiga sikap utama golongan Asyairah: Tiga sebab utama mengapa golongan Asyairah mengagungkan dalil akal sehingga mendahulukannya atas dalil Al-Quran dan al-Sunah ialah: Golongan Asyairah beranggapan bahawa terdapat perkara-perkara dalam kedua-dua Al-Quran dan al-Sunah yang bertentangan dengan akal. Ini membuatkan mereka mempertikaikan Al-Quran dan al-Sunah dari kedua-dua sudutnya; sanad…

  • SYARAT-SYARAT & HALANGAN-HALANGAN HUKUMAN KAFIR

    Kerana sabda Nabi ﷺ: رُفِعَ ‌الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحتَلِم وَعَنِ المجْنُونِ حَتَّى يَعْقِل. “Diangkat pena buat tiga golongan; orang yang tidur sehingga dia terjaga, anak kecil sehingga dia baligh dan orang gila sehingga dia berakal.” [Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 4403] Firman Allah…

  • ASWAJA

    Mereka tolak Allah ﷻ di atas langit kerana akal mereka tidak dapat terima, tetapi percaya guru mereka boleh bertemu Rasulullah ﷺ secara Yaqazah (dalam keadaan jaga, bukan mimpi), tidak mustahil menurut akal, kata mereka. Ini bahana mendahulukan akal atas wahyu. Berikut dalil-dalil Al-Quran dan hadis bahawa Allah ﷻ di atas…

  • | |

    HUBUNGAN WAHYU – AKAL

    Agama tidak dibina atas akal tetapi mengikut wahyu, dan akal yang sihat adalah seiringan dengan wahyu. Justeru apa yang bercanggahan dengan akal adalah kecacatan, dan pendirian yang menyalahi wahyu adalah batil, tertolak. Daripada Allah jua kita memohon petunjuk. Dr. Idris bin SulaimanKajang29 Rabiulakhir 1446H01 November 2024https://idrissulaiman.com

  • | |

    HUBUNGAN MUSLIM DENGAN BUKAN MUSLIM

    Soalan: Bolehkan saya melawat jiran bukan Muslim jika dia sakit? Jawapan: Boleh. Soalan: Bolehkan saya mengucapkan takziah kepada jiran bukan Muslim jika ahli keluarganya meninggal dunia? Jawapan: Boleh. Soalan: Bolehkan saya mengucapkan tahniah kepada kenalan bukan Muslim atas perkahwinan anaknya? Jawapan: Boleh. Soalan: Bolehkan saya mengucapkan tahniah kepada kenalan bukan…