HATI JANTUNG
HATI JANTUNG
Penggunaan perkataan ‘hati’ dalam Bahasa Melayu boleh mengelirukan sekiranya digunakan untuk memahami nas-nas Al-Quran dan Hadis.
Sebagai contohnya hadis:
“Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, sekiranya ia baik maka baiklah jasad, dan jika buruk maka buruklah jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah al-qalb.”
Al-Qalb ertinya jantung.
Hadis ini menjelaskan bahawa jantung manusia menjadi asas baik atau buruknya seseorang.
Ia menjadi pusat segala apa yang dilakukan oleh manusia.
Semua tindak-tanduknya berdasarkan ‘arahan’ atau ‘keputusan’ yang diambil di sini – di JANTUNG.
Begitu juga dengan NIAT. Ia dilakukan dalam al-qalb / jantung.
Kata Imam An-Nawawi:
“NIAT adalah keazaman JANTUNG untuk melakukan suatu kefarduan atau selainnya.”
Begitu juga dengan AKAL manusia. Ternyata ia juga terletak di JANTUNG.
Andaian bahawa akal terletak di otak ternyata meleset sama sekali!
Baca firman Allah:
أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang-orang yang ada ‘JANTUNG’ yang dengannya mereka dapat mentaakul (berfikir dan membuat pertimbangan), atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Sesungguhnya ia tidak membutakan mata kepala, tetapi yang buta itu ialah mata ‘JANTUNG’ yang ada di dalam DADA.”
[Surah Al-Hajj, 46]
Sering perkataan ‘qalb’ (mufrad) atau qulub (jamak) dikelirukan dengan perkataan HATI!
Walhal jantung dan hati adalah dua anggota yang berbeza!
Bahkan terdapat sebuah hadis yang sangat luar biasa memperincikan lagi tentang perkara ini.
Sabda Nabi:
إن العقل في القلب والرحمة في الكبد والرأفة في الطحال والنفس في الرئة
“Sesungguhnya AKAL di JANTUNG, sifat kasih di hati, sifat kasihan di limpa, manakala nafsu di paru-paru.”
Riwayat Bukhari dalam Adab Al-Mufrad. Kata Al-Albani: Sanadnya hasan.
Maka akal terletak di jantung manakala di hati ialah sifat KASIH.
Benarlah agaknya ungkapan:
“Ibuku kekasih hatiku”
kerana sifat kasih sememangnya di hati berdasarkan hadis di atas.
Adapun niat, perasaan dan akal, tempatnya terletak di JANTUNG; bukan HATI!
Barangkali akan ada yang memperkecilkan permasalahan ini dengan tanggapan bahawa antara jantung dan hati tidak banyak bezanya.
“Kita guna sahaja perkataan hati, tetapi maksud kita jantung” – demikian mungkin dakwaan mereka. Kononnya.
Masakan sama. Ia tidak sama bahkan mengelirukan. Ia juga salah dari sudut terjemahan lalu akibatnya akan menyebabkan penyelewengan dan salah faham.
Lihat sahaja hari ini di kalangan mereka yang melafazkan niat mereka dengan lidah ketika hendak solat dan seumpamanya, lalu ketika ada yang memberi salam kepada mereka, mereka tidak menjawabnya. Apabila ditanya, mereka mengatakan:
“Aku jawab salam dalam hati!”
Katakan kepada mereka:
“Niat jangan dilafazkan kerana tempatnya di JANTUNG. Adapun ungkapan salam, ia perlu dilafazkan dengan lidah kerana sama sekali tempatnya bukan jantung, dan jauh sekali dari hati!”
Benar, akan timbul kekeliruan jika ada yang mengatakan:
“Aku sakit jantung!”
sedangkan maksudnya ‘hatinya’ (Aku sakit hati).
Untuk dibezakan antara keduanya maka boleh sahaja digunakan ungkapan:
“HATI JANTUNG”
Ini bagi membezakan antara perkara-perkara zahir (jantung) dan hal-hal maknawi seperti niat, perasaan dan akal fikiran (jantung hati).
Barakallahu fikum.
P/S: Klik SHARE.
Sertai group whatsapp bersama UIS. Klik di sini: (www.wasap.my/60196647749)
[ Admin ]