|

BILA SESUAI UCAP ‘WALLAHUAKLAM’

– Wallahulmuwaffiq
– Cara penggunaan dalam ayat

Wallahuaklam bermaksud ‘Dan Allah lebih tahu’.

Bila sesuai digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’?

Dalam dua keadaan:

1. Jika hendak mengatakan bahawa sesuatu yang telah disampaikan itu merupakan hasil ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah ﷻ.

Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ di sini bertujuan untuk menegaskan bahawa apa yang telah disampaikan itu bukanlah daripada kehebatan diri sendiri tetapi hasil anugerah ilahi yang mana jika bukan kerana limpahan kurniaNya nescaya ia tidak akan dapat disampaikan.

2. Jika hendak menegaskan bahawa perincian dan huraian lanjut sesuatu permasalahan yang dibahaskan itu diserahkan pengetahuannya kepada Allah ﷻ.

Ini kerana ilmu berkenaan sesuatu permasalahan ada tingkatan-tingkatannya dari sudut pengetahuan manusia mengenainya dan juga dari sudut sama ada ia jelas ataupun samar.

Ada permasalahan yang bersifat ijtihad dan ada yang tidak, di samping ada permasalahan yang jelas dan ada juga yang samar.

Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ bermaksud menyerahkan pengetahuan lengkap dan sempurna mengenainya kepada Allah ﷻ, Dia jualah yang Maha Mengetahuinya.

Ia biasanya melibatkan permasalahan-permasalahan ijtihad yang ada perselisihan pendapat dalam kalangan ahli ilmu.

WALLAHUALAM VS WALLAHULMUWAFFIQ

Sebahagian ulama membezakan antara pendekatan mengakhiri ayat dengan perkataan ‘Wallahulmuwaffiq’ dan ‘Wallahuaklam’ dalam permasalahan-permasalahan ilmu.

‘Wallahulmuwaffiq’ bermaksud ‘Dan Allah jualah pemberi taufik’.

Perkataan ‘Wallahulmuwaffiq’ dikhaskan buat permasalahan-permasalahan yang zahir lagi jelas manakala ‘Wallahuaklam’ dikhaskan buat permasalahan-permasalahan ijtihad yang sukar dan ada perselisihan.

Contoh ayat:

1. “Jumlah solat fardu lima waktu ialah lima, wallahulmuwaffiq.”

2. “Hukum solat witir ialah sunat, bukan wajib, wallahuaklam.”

Tidak seperti dalam contoh yang pertama, contoh yang kedua melibatkan permasalahan ijtihad yang ada khilaf antara para ulama maka lebih sesuai untuk digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’ di akhirnya.

Ini menunjukkan ketinggian ilmu para ulama dan ketelitian mereka dalam menggunakan perkataan-perkataan yang mana setiap perkataan itu barangkali mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri yang sebaiknya difahami dan diraikan oleh pembaca.

Wallahulmuwaffiq.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Rabiulawal 1444H
08 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    UCAPAN KUFUR: ANAK-ANAK TAK MINTA DILAHIRKAN

    “Anak-anak tak minta dilahirkan. Ibu dan ayahlah yang memilih untuk melahirkan mereka. Jadi jangan nak ungkit tentang penat lelah mengandung dan sakit payah melahirkan.” Demikian kenyataan tular di media sosial daripada sebahagian pihak yang meluahkan perasaan tentang masalah keluarga yang dihadapi. Perlu ditegaskan bahawa perkataan sebegini tidak wajar kerana bertentangan…

  • |

    AMALAN MEMBACA BISMILLAH 786 KALI??

    # Amalan tertolak dari meja penceramah Tersebar di media sosial video seorang penceramah menyarankan supaya diamalkan membaca bismillah sebanyak 786 kali kerana kelebihan-kelebihan yang tertentu. Peliknya dalam masa yang sama, beliau mengakui bahawa amalan yang diajarkannya itu tiada dalilnya dalam Al-Quran mahupun as-Sunah. Lebih pelik beliau mengandaikan bahawa sesuatu amalan…

  • |

    KIFARAH BALASAN AKIBAT DOSA? – KEPERCAYAAN ‘KARMA’

    Perlu ditegaskan bahawa kedua-dua perkataan ‘kafarah’ dan ‘kifarah’ membawa makna yang sama iaitu ‘penutup kesalahan’. Asal perkataan ‘kafarah’ ialah daripada bahasa Arab dengan makna yang tersebut, manakala perkataan ‘kifarah’ lebih merupakan sebutan bahasa Melayu kolokial dan tidak wujud dalam bahasa Arab. Mentafsirkan perkataan ‘kifarah’ sebagai balasan Allah akibat dosa Mukmin…

  • |

    HIDUPKAN SUNAH MATIKAN BIDAAH

    Wasiat Nabi ﷺ buat generasi akhir zaman pada kala berlaku banyak perselisihan dan perpecahan, kata baginda ﷺ: فَإنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّة الخُلَفَاء المَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِين تَمسَّكُوا بِها وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذ وَإيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَة وَكُلّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٍ. “Sesungguhnya barang siapa daripada…

  • |

    JIHAD PERANG: SATU RENUNGAN

    Semasa peringkat dakwah di Mekah, jihad perang tidak disyariatkan kerana kaum Muslimin lemah waktu itu. Oleh itu, Nabi ﷺ mengarahkan supaya para Sahabat sabar menahan diri dalam menghadapi kezaliman dan penindasan musuh walaupun sampai ada nyawa tidak berdosa dibunuh. [Sahih Bukhari, no. 5858] Mencabar musuh yang lebih kuat menyalahi syariat…