Green dome - Prophet Mohammed Mosque , Al Masjid an Nabawi - Medina / Saudi Arabia
|

MAULIDUR RASUL

– Empat Soalan
– Definisi Sambutan
– Jalur keras

Dalam Islam terdapat hanya dua perayaan, dan sambutan tahunan Maulidur Rasul bukan salah satu daripadanya.

Buktinya ialah para Sahabat Nabi ﷺ.

Mereka adalah golongan manusia yang paling arif tentang agama;

Mereka adalah golongan manusia yang paling ke hadapan melakukan kebaikan;

Mereka adalah golongan manusia yang paling cinta kepada Nabi ﷺ;

dan

Mereka adalah golongan manusia yang paling kuat berpegang kepada sunah Nabi ﷺ.

Meskipun demikian mereka tidak pernah menyambut Maulidur Rasul.

EMPAT SOALAN

Berikut empat soalan buat mereka yang menyambutnya:

1. Adakah sambutan Maulidur Rasul ketaatan atau maksiat?

Jika maksiat maka menyambutnya haram dan berdosa.

Tetapi jika ia ketaatan yang menjana pahala..

2. Adakah amalan ketaatan ini diketahui oleh Nabi ﷺ?

Tidak mungkin ada yang berani mengatakan bahawa Nabi ﷺ jahil tentang amalan ketaatan menyambut Maulidur Rasul ini.

3. Jika ia merupakan amalan ketaatan yang diketahui oleh Nabi ﷺ maka adakah baginda ﷺ pernah mengajarkannya kepada umatnya?

Sekali lagi tidak mungkin ada yang berani mengatakan bahawa Nabi ﷺ mengetahuinya tetapi tidak mengajarkannya kepada umatnya kerana ini merupakan tuduhan berat ke atas baginda ﷺ yang bererti baginda ﷺ ada menyembunyikan hal-hal agama yang sepatutnya disampaikan kepada umatnya berdasarkan firman Allah ﷻ:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ.

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalahNya.”

[Al-Quran, al-Maa’idah, 5: 67]

Jika ada yang mengatakan bahawa baginda ﷺ telah menyampaikan tuntutan menyambut Maulidur Rasul maka dikatakan kepadanya, mana dalilnya?

4. Adakah dalil anjuran menyambut Maulidur Rasul ini tidak ditemui oleh para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin sepanjang tiga kurun pertama Islam lalu generasi yang datang kemudian menemuinya?

Atau mereka mengetahui dalilnya tetapi menolaknya lalu mereka yang terkemudian menerima dan mengamalkannya?

Ini semua mustahil.

DEFINISI SAMBUTAN

Mungkin ada yang mahu menggantikan acara perarakan, berselawat beramai-ramai, berqasidah, bacaan Yasin dan tahlil kepada program ceramah sirah Nabi ﷺ dan seumpamanya.

Sekalipun tidak sama tetapi ia masih ada syubhah.

Ini kerana apa jua program atau amalan khusus bersempena dengan Maulidur Rasul dikira termasuk dalam erti menyambutnya.

Memandangkan tiadalah acara berkumpul beramai-ramai atau mengadakan jamuan makan melainkan itulah definisi kebanyakan sambutan.

KESIMPULAN

Penjelasan di atas membuktikan bahawa sambutan tahunan Maulidur Rasul ialah rekaan dan tokok tambah dalam agama manakala Islam berlepas diri daripadanya berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dan sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

CATATAN

Tidak ada jalur keras dalam Islam tetapi jalur lurus atau menyimpang. [Al-Quran, 6: 153]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
09 Rabiulawal 1444H
06 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    MENJAGA HUBUNGAN

    MENJAGA HUBUNGAN Bukan semua hubungan yang terputus memerlukan perhatian bagi mengembalikannya. Terdapat hubungan yang terputus yang menjadi rahmat serta memberi ketenangan fikiran. Sebaliknya keprihatinan perlu diberikan kepada perhubungan yang wajib ada manakala menjaganya menjadi fardu atau sunat serta diberi ganjaran pahala. Perhubungan inilah yang memerlukan kesungguhan serta kesabaran dalam menjaganya….

  • |

    ‘PENGHORMATAN TERAKHIR’ kepada si mati?

    ‘PENGHORMATAN TERAKHIR’ kepada si mati? Mungkin anda pernah mendengar apabila berlaku kematian sebahagian tajuk dan isi berita menyebut: “… memberi penghormatan terakhir kepada si fulan si fulan …” Adakah ungkapan ini benar dan selari dengan ajaran AGAMA? Jawapannya: TIDAK! Apa yang pasti ia adalah ungkapan yang biasa disebut oleh masyarakat…

  • |

    MENGATA DULANG

    Ada pihak berkata: “Wahabi mudah menyesatkan orang lain!!” Pihak itu juga kemudian berdoa: “Lindungilah kami dari ajaran sesat Wahabi!!” Seperti ada sesuatu tidak kena, bukan?? Mengata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih. CATATAN Berbahaslah dengan ilmu. Daripada Allah jua kita memohon petunjuk. Dr. Idris bin SulaimanKajang25 Jamadilakhir 1446H27…

  • |

    AZAM TAHUN BAHARU BUKAN BUDAYA ISLAM

    ‘Azam tahun baharu’ sinonim bila tiba awal tahun baharu Masihi. Sedar atau tidak budaya ini kembali ke zaman pagan Babylon lebih 4000 tahun dahulu. https://www.abc.net.au/news/2023-12-31/new-year-resolutions-began-as-ancient-rituals-4000-years-ago/103271974 Maka penting ditegaskan bahawa ‘azam tahun baharu’ bukan budaya Islam dan lebih penting lagi ia sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Berbeza dengan mereka yang berazam…

  • |

    HIKAYAT ‘STRAW’ & ‘PLASTIK’

    HIKAYAT ‘STRAW’ & ‘PLASTIK’ Rata-rata mungkin sudah tahu tentang kempen ‘jangan guna straw & plastik’ kerana ia menyumbang ke arah pencemaran alam dan sebagainya. Sedikit sebanyak ia menimbulkan kesulitan dan kepayahan kepada pengguna. Tetapi dalam masa yang sama, di sesetengah tempat pelanggan masih boleh meminta ‘straw’ jika mereka mahu. Dengan…