| |

YANG PENTING YAKIN ALLAH BAGI?

– Doa minta dengan orang mati
– Tauhid rububiyyah & uluhiyyah

Sebahagian berpandangan bahawa Muslim harus meminta daripada orang mati selagi mana yakin bahawa yang memberi ialah Allah ﷻ.

Menurut mereka orang mati lebih-lebih lagi orang-orang soleh dan wali Allah boleh dijadikan sebagai perantara apabila berdoa.

Ia dinamakan tawassul, menurut mereka.

Maka seseorang itu boleh menyeru nama orang yang sudah meninggal dunia meminta supaya dipanjatkan sesuatu hajat kepada Allah ﷻ lalu kerana kedudukan dan kemuliaan si mati doa itu mustajab.

Fahaman ini keliru lagi salah.

ERTI TAUHID

Hakikatnya fahaman ini timbul lantaran keliru dalam memahami erti tauhid yang sebenar di samping maksud syirik.

Pendekatan membataskan tauhid hanya kepada rububiyyah iaitu keyakinan bahawa Allah Maha Pencipta lagi Maha Pemberi tanpa tauhid uluhiyyah iaitu mengesakan Allah dalam segala amal ibadah menyumbang kepada kekeliruan ini.

Tidak cukup bagi Muslim meyakini bahawa Allah Maha Pencipta lagi Maha Pemberi semata-mata sebaliknya hendaklah ditambah dengan keyakinan serta dipraktikkan secara amalan supaya tidak berdoa dan meminta di alam ghaib kecuali dengan Allah ﷻ semata-mata.

Ini kerana doa ertinya meminta dan ia merupakan antara ibadah-ibadah yang dituntut atas Muslim malah menjadi pokok segala ibadah.

Sabda Nabi ﷺ:

‌الدُّعَاءُ ‌هُوَ ‌العِبَادَةُ.

“Doa ialah (asas segala) ibadah.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

WAJIB DOA MEMINTA HANYA DENGAN ALLAH

Antara nas-nas yang mewajibkan berdoa dan meminta di alam ghaib dengan Allah ﷻ semata-mata ialah:

Firman Allah ﷻ:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (khabarkan): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permintaan orang yang meminta apabila dia berdoa kepadaKu.”

[Al-Quran, al-Baqarah, 2: 186]

Firman Allah ﷻ:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِي سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ.

“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permintaan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”

[Al-Quran, Ghafir, 40: 60]

Di samping kewajipan berdoa kepada Allah ﷻ, ayat Al-Quran di atas memberi ancaman azab api neraka buat mereka yang enggan berbuat demikian.

Al-Quran turut menjelaskan bahawa perbuatan berdoa dan meminta dengan selain Allah ﷻ adalah sia-sia lagi sesat.

Firman Allah ﷻ:

قُلۡ أَنَدۡعُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُنَا وَلَا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَىٰٓ أَعۡقَابِنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ.

“Katakanlah: Patutkah kita berdoa dan meminta dengan selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak pula dapat mendatangkan mudarat; dan (patutkah) kita berundur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam).”

[Al-Quran, al-An’aam, 6: 71]

FirmanNya ﷻ:

وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّن يَدۡعُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَن لَّا يَسۡتَجِيبُ لَهُۥٓ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَهُمۡ عَن دُعَآئِهِمۡ غَٰفِلُونَ.

“Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang berdoa meminta dengan sesuatu selain Allah yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya sampailah ke Hari Kiamat, sedang makhluk-makhluk yang diseru itu tidak tahu menahu tentang permintaan mereka itu.”

[Al-Quran, al-Ahqaaf, 46: 5]

Ayat di atas menjelaskan tentang betapa sesat dan ruginya mereka yang berdoa dan meminta di alam ghaib dengan selain Allah ﷻ kerana pihak yang diminta daripadanya itu tidak menyedari sama sekali akan doa permintaan mereka itu.

KESIMPULAN

Muslim tidak boleh berdoa meminta dengan orang mati, jin, malaikat atau apa sahaja selain daripada Allah ﷻ.

Sebaliknya Muslim hanya meminta di alam ghaib dengan Allah ﷻ sahaja bertepatan dengan firman Allah ﷻ:

قُلۡ إِنَّمَآ أَدۡعُواْ رَبِّي وَلَآ أُشۡرِكُ بِهِۦٓ أَحَدا.

“Katakanlah: Sesungguhnya aku hanya berdoa dan meminta dengan Tuhanku semata-mata, dan aku tidak menyekutukanNya dengan sesiapapun.”

[Al-Quran, al-Jinn, 72: 20]

Ini menunjukkan betapa pentingnya dihayati kedua-dua tauhid rububiyyah dan uluhiyyah manakala kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hal-hal syirik, nauzubillah.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan keselamatan.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
25 Safar 1444H
22 September 2022

Similar Posts

  • TANGGUNGJAWAB AHLI ILMU

    Antara tanggungjawab ahli ilmu ialah menjelaskan kebenaran kepada manusia dan menzahirkannya, membezakan antara yang benar dan palsu, yang baik dengan yang buruk, menyatakan perkara yang halal dan yang haram di samping menerangkan akidah yang benar berbanding akidah yang rosak agar mereka yang mencari kebenaran mendapat petunjuk dan mereka yang tersesat…

  • | |

    ARAB SAUDI MANSUHKAN SUBJEK AGAMA DI SEKOLAH?

    ARAB SAUDI MANSUHKAN SUBJEK AGAMA DI SEKOLAH? # Video propaganda anti Arab Saudi Arab Saudi melalui kementerian pendidikannya mengumumkan bahawa enam mata pelajaran Agama iaitu Al-Quran, Tajwid, Tauhid, Fiqah, Hadis dan Tafsir akan dihimpunkan di bawah satu mata pelajaran iaitu Pendidikan Islam. Pengumuman ini dikeluarkan susulan langkah sama diambil yang…

  • | |

    ARTIS JADI IDOLA SEMBAHAN DI BARAT

    Semalam telah dibahaskan tentang perkataan ‘idola’ dan dijelaskan bahawa ia kembali kepada maksud sesuatu yang dijadikan sebagai sembahan. Dalam Al-Quran, Allah ﷻ menyatakan bagaimana orang-orang Kristian telah menjadikan para pendeta dan rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah ﷻ (al-Taubah, 9:31) dan Nabi ﷺ menyatakan bahawa ia kerana para pendeta dan…

  • |

    CIRI-CIRI AJARAN SESAT

    Antara ciri-ciri ajaran sesat ialah: Ajaran menyalahi dalil Al-Quran dan al-Sunah; Bercanggah dengan pemahaman Salaf al-Soleh; Bertentangan dengan amalan para Sahabat; Berbaur khurafat dan tahyul; Diselubungi kesamaran dan kerahsiaan; Ajaran bercanggahan dan kontradik; Disembunyikan daripada pengetahuan umum. BIAR GAMBAR BERBICARA Foto-foto yang disisipkan ialah gambaran kasar apa yang disebutkan di…

  • | |

    SEMBAH KUBUR DI NEGARA ISLAM

    Syeikh Muzammil Faqiri, seorang pendakwah Sudan menunjukkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para dai di negaranya. Kelihatan beberapa bangunan berkubah tiga segi dibina di atas sesetengah kubur di Sudan. Sesetengah masyarakat Islam di sana mempercayai bahawa penghuni kubur-kubur ini memiliki keistimewaan-keistimewaan di samping mampu memberi manfaat-manfaat tertentu buat para pengunjungnya…

  • |

    HALUSNYA SYIRIK

    Betapa halusnya syirik, lebih halus daripada semut (Sahih, Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad). Ini contoh ajaran yang membawa kepada syirik dalam bentuk mengajar IKHLAS dan KHUSYUK. Ketika mana syariat memerintahkan supaya IKHLAS beribadah kerana ALLAH dan KHUSYUK menghayati amalan yang dilaksanakan dengan tunduk merendah diri MEMIKIRKAN KEBESARAN dan KEAGUNGAN ALLAH, mereka…