| |

MENOLAK DAKWAAN USTAZ MUHAIZAD:

MENOLAK DAKWAAN USTAZ MUHAIZAD:
ILMU HADIS DIBINA ATAS SANGKAAN

Ringkasan dakwaan Ustaz Muhaizad:

– Kita tidak boleh mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ benar-benar bersabda secara pasti dan yakin termasuklah para ulama ahli hadis kerana mereka menerima hadis itu secara riwayat sedangkan perawi itu walaupun dia thiqah tetapi mungkin dia berdusta;

– Ini kerana ilmu hadis dibina atas sangkaan semata-mata;

– Kita hanya mengatakan hadisnya sahih kerana perawi-perawinya thiqah tetapi untuk meyakininya maka tidak boleh kerana kita tidak hidup pada zaman Nabi ﷺ;

– Zaman Sahabat pun tidak boleh yakin dengan sesebuah hadis itu kerana bukan semua Sahabat mendengar secara langsung daripada Nabi ﷺ.

JAWAPAN:

Sedar atau tidak dakwaan ini secara tidak langsungnya meruntuhkan seluruh Agama Islam memandangkan bahawa ilmu hadis merupakan salah satu daripada dua sumber utamanya di samping Al-Quran.

Ini kerana terdapat perbezaan yang sangat ketara antara apa yang pasti dan yakin dengan apa yang bersifat sangkaan dari sudut makna, implikasi dan hukum syarak.

Dari sudut makna, sangkaan merupakan kata lawan bagi pasti dan yakin.

Dari sudut implikasi, apa yang bersifat sangkaan tidak boleh dijadikan sebagai hujah atau pegangan kerana tidak wujud keyakinan serta kepastian yang diperlukan bagi menentukan sesuatu itu benar atau tidak.

Lihat sahaja mana-mana mahkamah di dunia, bagaimana kesalahan hanya boleh disabitkan sekiranya bukti di luar keraguan yang munasabah.

Bagaimana jika bukti yang dikemukakan bersifat sangkaan? Bukti sedemikian akan ditolak mentah-mentah oleh mahkamah.

Jika dalam hal Agama, implikasinya jauh lebih besar dan serius kerana ia melibatkan kepercayaan dan amalan seluruh umat!

Dari sudut hukum syarak pula, nas-nas Al-Quran dan hadis secara jelas menolak dan mencela apa yang bersifat sangkaan.

Allah ﷻ berfirman:

وَمَا يَتَّبِعُ أَكۡثَرُهُمۡ إِلَّا ظَنًّاۚ إِنَّ ٱلظَّنَّ لَا يُغۡنِي مِنَ ٱلۡحَقِّ شَيْئًا.

“Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan apa yang bersifat sangkaan sahaja, sedangkan sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran.”

[Al-Quran, Yunus, 10:31]

Ayat di atas menegaskan bahawa apa yang bersifat sangkaan tidak boleh dijadikan sebagai bukti kebenaran.

Dalam hadis pula, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِيَّاكُمْ ‌وَالظَّنَّ، فَإِنَّ‌‌ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ.

“Jauhilah kamu daripada bersangka-sangka. Sesungguhnya sangkaan itu adalah seburuk-buruk bicara.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Jika benar ilmu hadis dibina atas sangkaan maka hadis di atas menuntut supaya kita menjauhi ilmu hadis itu.

Ini jelas batil.

Sekalipun ada perbahasan dalam kalangan ulama tentang hadis Mutawatir dan hadis Ahaad tetapi Ustaz Muhaizad telah mengambil satu langkah panjang ke hadapan dengan memukul rata semua hadis dan mengatakan “Ilmu hadis (semuanya?) dibina atas sangkaan”.

Hakikatnya dakwaan mengatakan bahawa terdapat kemungkinan perawi hadis itu berdusta walaupun dia thiqah telah dimulakan oleh Abu Ali Muhammad al-Jubba’i, seorang tokoh Muktazilah (wafat 303H).

[Khabar al-Wahid as-Sahih oleh Nuruddin Muhammad ‘Atar, hlm. 163]

Di sini persoalan, adakah beliau menganuti fahaman Muktazilah yang dihukum sesat oleh Ahli Sunah Wal Jemaah?

Apa yang lebih mengelirukan, beliau sampai mengatakan “Zaman Sahabat pun tidak boleh yakin”!

Adakah para Sahabat Nabi ﷺ yang para ulama hadis sepakat menetapkan bahawa mereka semua adil dan thiqah juga boleh berbohong?

Maka bagaimana pula dengan hadis pertama dalam Sahih Bukhari tentang “Amalan bergantung pada niat” yang hanya diriwayatkan oleh Sayyidina Omar daripada kalangan Sahabat. Adakah hadis ini diragui dan bersifat sangkaan kerana terdapat kemungkinan Omar al-Khattab berbohong?

Berat dakwaan sedemikian.

Kesudahannya, dakwaan beliau ini bermakna umat Islam tidak lagi boleh mengatakan “Nabi ﷺ bersabda…” sebaliknya ia perlu diubah kepada “Nabi ﷺ dikatakan bersabda…” dan seumpamanya.

Bagaimana pula dengan Al-Quran kerana ia juga sampai kepada kita secara riwayat. Adakah Al-Quran juga bersifat sangkaan?

KESIMPULAN

Dakwaan Ustaz Muhaizad adalah batil, sebatil-batilnya. Implikasinya ia meruntuhkan Agama Islam semua sekali.

Sedangkan sebetulnya, mana-mana hadis yang diterima oleh umat Islam merupakan ilmu yang bersifat yakin dan pasti. Ini adalah pendirian sekelian ulama hadis dan majoriti para ulama.

CATATAN

Akibat kejahilan tentang ilmu hadis, kedudukan dan peranannya dalam Agama, kelompok seperti beliau menggunakan hujah mimpi bertemu Rasulullah serta majlis Yaqazah di mana Nabi ﷺ hadir dalam majlis mereka secara jaga sebagai jalan alternatif.

Mereka sampai berbangga kerana dapat mengambil sabda Nabi ﷺ secara langsung daripada mulut baginda ﷺ di kala umat Islam yang lain termasuklah para ulama hadis sekadar mengambil hadis secara riwayat daripada perawi-perawi yang telah pun mati dan meninggal dunia.

Jelas sesat dan batil.

Idris bin Sulaiman
Kajang
1 Rabiulawal 1443H /
08 Oktober 2021

Similar Posts

  • |

    MEMBUAT TOKOK TAMBAH DALAM AGAMA

    Mendakwa Nabi ﷺ telah khianat Agama Islam telah sempurna Orang yang membuat tokok tambah dan mengada-adakan rekaan amalan baharu dalam agama pada hakikatnya mempertikaikan apa yang telah disyariatkan oleh Allah ﷻ. Barangkali bukan dengan lisannya tetapi perbuatannya seperti mengatakan bahawa syariat terlepas pandang ‘kebaikan’ yang diada-adakannya itu. Sedangkan tidaklah Nabi…

  • |

    KHILAF ULAMA

    Sebahagian apabila ditegur kerana sesuatu kesalahan akan mencari pendapat ulama yang cocok dengan kesalahannya untuk dijadikan sebagai dalil bagi membenarkan kesalahannya itu. Perlu ditegaskan bahawa pendapat ulama bukan hujah apatah lagi jika hendak dijadikan sebagai dalil bagi menolak nas Al-Quran dan al-Sunah. Justeru khilaf ulama tidak harus dijadikan sebagai hujah…

  • | |

    PERLEMBAGAAN ARAB SAUDI MENOLAK MAJORITI HADIS?

    PERLEMBAGAAN ARAB SAUDI MENOLAK MAJORITI HADIS? Tersebar sejak beberapa bulan lepas dakwaan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (MBS) menolak majoriti hadis dan tidak mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada perlembagaan negaranya. Dakwaan ini timbul selepas satu wawancara televisyen diadakan dengan beliau pada bulan April 2021. Hakikatnya ini adalah sebahagian…

  • |

    MENJAGA HUBUNGAN

    MENJAGA HUBUNGAN Bukan semua hubungan yang terputus memerlukan perhatian bagi mengembalikannya. Terdapat hubungan yang terputus yang menjadi rahmat serta memberi ketenangan fikiran. Sebaliknya keprihatinan perlu diberikan kepada perhubungan yang wajib ada manakala menjaganya menjadi fardu atau sunat serta diberi ganjaran pahala. Perhubungan inilah yang memerlukan kesungguhan serta kesabaran dalam menjaganya….

  • |

    KURANG KASIH SAYANG

    Ilmu mewariskan kasih sayang. Lebih tinggi ilmu seseorang itu maka lebih tinggilah kasih sayangnya kepada orang lain. Kata Ibnu al-Qayyim: وَكَانَ الصّدّيق رَضِي اللهُ عَنْه مِن أرْحَم الأمّة وَقَدْ رُوِيَ عَنْ النّبي ﷺ أنَّهُ قَال “أرْحَم أمَّتِي بأِمَّتِي أبُو بَكْر” رَوَاهُ الترَمِذِي وَكَانَ أعْلمَ الصّحَابَة بِاتّفَاق الصَّحَابَة. وَهَكَذَا الرَّجل كُلَّما…

  • |

    AGENDA NORMALISASI TRANGENDER?

    Mutakhir ini usaha menyebarkan dakyah trànsgèndèr L§BT bergiat aktif dan sangat luar biasa. Adakah ini termasuk dalam agenda tersebut yang ingin disebarkan ke dalam masyarakat secara halus? Sedangkan Nabi ﷺ melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. [Sahih. Riwayat Bukhari] Jelik dan tercela. Semoga Allah pelihara kita…