HIKMAH di SEBALIK UJIAN

HIKMAH di SEBALIK UJIAN

Sekalipun berduka dengan fitnah cubaan dan dugaan yang menimpa dalam liku-liku dakwah di hari-hari ini, di kala melihat sahabat-sahabat saling bergeseran, bantah-membantah antara satu sama lain, tetapi jauh di sebaliknya terdapat hikmah sebab mengapa hal-hal ini berlaku. Semestinya ada sebab dan tujuannya.

Sepertimana asal tujuan Allah timpakan sesuatu ujian, ia adalah untuk menyingkapkan hakikat sesuatu itu supaya tampak kedudukan sebenarnya. Supaya apa yang selama ini terlindung dapat dizahirkan, manakala apa yang tersembunyi menjadi nyata.

Dengan ujian yang melanda, tampaklah mereka yang benar-benar jujur istiqamah di atas Manhaj, berbanding mereka yang sekadar mendakwa.

Demikian firman Allah:

“Supaya dapat dibezakan antara apa yang buruk dengan apa yang baik.”

(Al-Anfaal: 37)

Firman-Nya lagi:

“Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka ia akan hilang lenyap hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap kekal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”

(Ar-Ra’ad: 17)

Sebuah permisalan Arab menyebut:

وكل إناء بما فيه ينضح

“Segala apa yang terdapat dalam bekas lambat-laun akan tersingkap jua.”

Semoga Allah menggolongkan kita dalam kalangan mereka yang istiqamah di atas Manhaj yang benar, tidak tersungkur dalam ujian cubaan bersama-sama mereka yang terpesong dan sesat.

Demikian sekelumit peringatan yang diberikan oleh Ayahanda Al-Fadhil Dr Sulaiman Noordin hafizahullah sekembali solat Subuh pagi tadi.

Kepada Allah jua kita memohon taufik dan hidayah-Nya.