NEGARA DIANCAM KUFFAR 1

NEGARA DIANCAM KUFFAR 1

1. Perkembangan politik semasa negara menyaksikan kaum kuffar beria-ia dan bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan pemerintah Muslim negara. Sebahagian pemimpin masyarakat Muslim pula sanggup bersekongkol untuk menjayakannya.

2. Seakan-akan tak cukup dengan itu, masyarakat sekeliling dilihat tidak ambil endah dan barangkali menganggap hal ini biasa-biasa sahaja kerana ia sebahagian daripada ‘warna-warni’ demokrasi. Lebih-lebih lagi menurut mereka kerana pilihan raya tak lama lagi akan diadakan.

3. Golongan agamawan secara amnya pun sama. Mereka dilihat mempunyai kecenderungan yang sama bahkan barangkali sebahagian mereka sampai bersetuju dengan agenda pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan semasa.

Tidakkah mereka membaca firman Allah,

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan JANGAN KAMU BERCERAI-BERAI.” [QS Al-Imraan: ayat 103]

4. Di samping tuntutan bersatu-padu, umat Islam juga diperintahkan supaya tidak berbalah dan berpecah-belah kerana perbuatan tersebut lebih sinonim dengan sifat orang-orang kafir. Firman Allah,

“Dan janganlah kamu tergolong dalam kalangan ORANG-ORANG MUSYRIKIN. Iaitu mereka yang telah memecahbelahkan agama mereka dan MENJADI BERPUAK-PUAK; setiap puak berbangga dengan apa yang ada padanya.” [QS Al-Rum: ayat 31-32]

5. Bagaimana sekiranya perpecahan itu dilakukan dengan bersekongkol dengan orang-orang kafir yang menentang pemerintah Muslim, semestinya ini jauh lebih berat dan dosanya lebih besar di sisi Allah. Firman Allah,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai rakan sekutu kamu kerana sesetengah mereka menjadi rakan sekutu sesetengah mereka yang lain. DAN SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG MENJADIKAN MEREKA SEBAGAI RAKAN SEKUTUNYA, MAKA SESUNGGUHNYA DIA TERGOLONG DALAM KALANGAN MEREKA.” [QS Al-Maa’idah: ayat 51]

Kata Ibnu Kathir: “Allah subhanahu wata’ala melarang para hamba-Nya yang beriman mengangkat orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai walinya (menjadikan mereka sebagai ketuanya, penolongnya, rakan sekutunya dan teman rapatnya). Ini kerana mereka adalah musuh-musuh Islam dan musuh-musuh orang-orang yang beriman.” [Tafsir Ibnu Kathir]

6. Ada yang berhujah mengatakan sistem demokrasi membolehkan hal ini dilakukan. Kita katakan: Subhanallah, demokrasi itu sama sekali bukan daripada Islam sebaliknya ia daripada Kafir Barat yang jelas mahu memporak-perandakan umat Islam dengan sistem ini di mana umat Islam dipecahbelahkan menjadi berparti-parti; parti pemerintah dan parti pembangkang, walhal kaedah pecah dan perintah ini (divide and rule) bertujuan untuk melemahkan umat Islam, membuatkan mereka berbalah sesama mereka sehingga tidak dapat menggembleng tenaga bagi berdepan dengan musuh mereka; Yahudi, Nasrani dan yang lain.

7. Bagi membuatkan umat Islam terus berpecah, negara terus lemah, tergugat dan terancam maka diadakan pilihan raya umum yang kononnya untuk melantik pemerintah baharu dalam tempoh setiap lima tahun.

8. Ini adalah cara yang sangat licik dan halus bagi membuatkan pemerintah tersepit manakala negara terancam lalu kesempatan ini digunakan oleh musuh-musuh untuk mengugut pemerintah negara supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka. Jika tidak, segala bantuan dan sokongan dalam bentuk kewangan, liputan media masa, propaganda dan bermacam-macam sokongan bila-bila masa sahaja boleh disalurkan kepada pembangkang yang tentunya lebih daripada gembira untuk menerimanya.

9. Dari sudut lain, ada yang secara naif memuji sistem demokrasi dan menyokong adanya pembangkang atas alasan bahawa inilah sistem politik terbaik buat manusia sedangkan ia secara jelas dipaksakan oleh kafir Barat ke atas umat Islam, memecahbelahkan umat Islam dan menyalahi tuntutan agama supaya umat Islam bersatu-padu di bawah pemerintah Muslim, dengar dan taat kepadanya dalam hal-hal makruf, tidak menjatuhkannya dan menasihatinya secara rahsia; bukan di hadapan khalayak. Inilah maksud ‘Ahli Sunah WAL JEMAAH’.

10. Ada juga yang berpandangan sebaliknya, mengatakan bahawa seorang muslim wajar berlepas diri sepenuhnya daripada sistem kafir ini, jangan terlibat dengan demokrasi kepartian ini. Mereka mengatakan: Kami taat kepada pemerintah tetapi kami tidak akan mempertahankannya. Bukan sahaja mereka menolak parti pembangkang, mereka juga turut menolak parti pemerintah. Adapun ketika pilihan raya, sebahagian mereka tidak mengundi sama sekali dan sebahagian lain mengundi mana-mana calon yang ‘dilihat’ lebih baik sekalipun daripada pembangkang.

11. Sampai bilakah umat Islam mahu terus lena manakala musuh-musuh terus mengasah parang senjata mereka.

12. Saya tidak mahu dilihat berlebih-lebihan dalam hal ini lalu dikatakan menggunakan cara menakut-nakutkan pembaca supaya bersetuju.

13. Semoga saya silap dalam menilai sejauh mana kekuatan ancaman musuh negara. Semoga Allah menggagalkan perancangan kafir menjatuhkan pemerintah negara.

14. Hanya sahaja ini harapan. Umat Islam bukan sahaja disuruh supaya mengharapkan yang terbaik dan berdoa kepada Allah, dalam masa yang sama kita disuruh supaya berpijak di bumi nyata dan berusaha dengan mengambil sebab-musabab.

15. Bak kata pepatah Inggeris: Hope for the best, prepare for the worst (Harapkan yang terbaik tetapi dalam masa yang sama hendaklah bersedia untuk kebarangkalian yang paling buruk).

16. Orang yang gagal mengambil pengajaran daripada sejarah berkemungkinan besar akan mengulangi kesilapan lampau.

Jangan lupa titik hitam peristiwa rusuhan kaum dahulu yang telah meragut nyawa dan harta benda.

17. Tiada apa-apa jaminan bahawa negara akan terus aman damai, stabil dan makmur lebih-lebih lagi apabila kerajaan sedia ada dijatuhkan lalu digantikan dengan kerajaan yang baharu. Malah inilah resipi untuk menimbulkan kekacauan, ketidakstabilan, huru-hara dan kemuncaknya perang saudara.

18. Jika ini berlaku – nauzubillah – yakinlah bahawa ketika itu kita akan sedar betapa ‘warna-warna’ demokrasi itu tidaklah seindah yang disangka. Sama seperti mana terbuktinya ‘Musim Bunga Arab’ (Arab Spring) yang ternyata penuh dengan kekacauan, kehancuran dan kehilangan nyawa.

19. Tidak ada apa yang nak dibanggakan untuk berkata waktu itu:

“Kan aku dah cakap!”

20. Semoga Allah melindungi kita dan negara kita daripada kejahatan yang zahir dan yang tersembunyi.

Wallahul musta’an