SYURGA MENGALIR DI BAWAHNYA ‘BEBERAPA SUNGAI’

SYURGA MENGALIR DI BAWAHNYA ‘BEBERAPA SUNGAI’

Sering terjemahan Bahasa Melayu Al-Quran menggambarkan bahawa sungai-sungai Syurga hanyalah ‘beberapa sungai’.

Contohnya dalam firman Allah:

جَزَاؤُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ

“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah SYURGA Adn, YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan mereka pun reda terhadap Allah. Balasan yang sedemikian ialah untuk orang-orang yang takut terhadap Tuhannya.”

[Surat Al-Bayyinah, 8]

Terjemahan ini tidak tepat.

Setepatnya diterjemahkan sebagai:

“Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..”✅

BUKAN

“Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…”❌

Bukan sahaja terjemahannya tidak tepat, malah ia memberi gambaran negatif memperkecilkan keadaan dalam Syurga seolah-olah di dalam Syurga hanya ada ‘beberapa sungai sahaja’.

Kamus Dewan mengertikan perkataan ‘beberapa’ sebagai:

Lebih daripada dua TETAPI TIDAK BANYAK.

Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِنْ ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا ۖ وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ

“Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ daripada sutera.”

[Surat Al-Hajj, 23]

Imam Ibnu Kathir rahimahullah ketika mentafsirkan ayat di atas mengatakan:

“Ia (sungai-sungai) mengalir di dalamnya (Syurga), di seluruhnya dan di bahagian-bahagian sisinya. Sungai-sungai syurga juga mengalir di bawah pokok-pokoknya dan istana-istananya, dan mereka (penduduk Syurga) boleh mengalirkannya ke mana sahaja mereka mahu dan ke arah mana yang mereka hendak.” (Tamat)

Demikian keadaan sungai-sungai Syurga; tersangat banyak, tersangat luas, indah, cantik, luar biasa dan hebat.

Sehinggakan Imam Ibnu Kathir mengatakan bahawa penduduk Syurga boleh mengalirkan sungai-sungai Syurga itu ke mana sahaja mereka mahu dan ke arah mana sahaja mereka hendak!

Apakah masih ada lagi yang hendak mengatakan bahawa Syurga yang luas dan indah tersebut di dalamnya hanya terdapat “beberapa batang sungai” sahaja?

Tidak sama sekali!

Semoga Allah mengurniakan kita Syurga dan menggolongkan kita dalam kalangan mereka yang dapat menikmati keindahan sungai-sungai Syurga itu.

Barakallahu fikum

– Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman (hafidzahullah) –

P/S: Klik SHARE.

Ada soalan berkaitan AGAMA? Sertai group whatsapp bersama UIS. Klik di sini: (www.wasap.my/60196647749)

[ Admin ]