KERAJAAN ZALIM
KERAJAAN ZALIM
Seorang Muslim wajib berlepas diri daripada semua bentuk kezaliman tak kira daripada sesiapa; diri sendiri atau orang lain ataupun yang dilakukan oleh kerajaan.
Firman ALLAH:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim (jika tidak) api neraka akan membakar kamu”
(Surah Huud; 113)
Hal ini jelas.
Termasuk dalam erti kezaliman adalah menuduh pihak tertentu sebagai zalim dengan sewenang wenangnya tanpa usul periksa. Ini juga satu bentuk kezaliman yang percaya atau tidak kita akan disoal oleh ALLAH di Padang Mahsyar nanti.
Betapa mudahnya menuduh tetapi terpinga-pinga bila disuruh mendatangkan bukti.
Tetapi realitinya, itulah sikap ramai manusia dalam muamalah mereka dengan kerajaan mereka. Apa jua musibah yang menimpa, mereka akan berkata: kerajaan zalim!
Dukacitanya, antara mereka yang mengucapkan ‘zikir’ ini adalah agamawan yang kononnya mengajak masyarakat kepada ‘Sunnah’ tetapi realitinya mereka lebih mengajak kepada punah.
Golongan ini sepatutnya mengajak masyarakat supaya sentiasa muhasabah jangan mudah menuding jari kerana ALLAH berfirman:
“Apa jua yang musibah yang menimpa kamu, maka ia adalah disebabkan oleh tangan-tangan KAMU”
(Surah Asy-Syura; 30)
ALLAH tidak mengatakan:
“Ia disebabkan oleh KERAJAAN KAMU”.
Tetapi ini bukan pelik apabila mengenangkan bahawa Rasulullah sallalahu alaihi wassalam turut telah DITUDUH ZALIM oleh Dzul Khuwaisirah ketika Baginda mengagih-agihkan harta ghanimah Perang Hunain.
Dzul Khuwaisirah berkata:
“Berlaku adil lah wahai Muhammad!”
Peristiwa ini sewajarnya menjadi ibrah buat kita supaya jangan jadi seperti Dzul Khuwaisirah, orang pertama yang memulakan fahaman KHAWARIJ memberontak terhadap pemerintah.
Jadilah seperti golongan Ansar yang terus SABAR tidak mudah melatah dan menuduh, walaupun pada mulanya mereka tidak senang melihat Rasulullah sallalahu alaihi wassalam mengecualikan mereka daripada pemberian harta ghanimah tersebut. Dan apabila Baginda menjelaskan kepada mereka, mereka tenang reda menerima penjelasan tersebut.
Firman ALLAH,
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (daripada Allah) dengan jalan SABAR dan mengerjakan SOLAT; sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
(Surat Al-Baqarah, 45)
Sesungguhnya berburuk sangka dan menuduh sebarangan tanpa soal siasat hanya akan memburukkan keadaan.
Sahut lah saranan ALLAH dalam ayat di atas supaya SABAR dan solat di samping beristighfar memperbanyakkan doa memohon supaya ALLAH menghilangkan musibah yang menimpa.
Sesungguhnya ALLAH Maha Berkuasa, tiada apa yang mustahil bagi NYA.
Hanya sahaja manusia yang kurang iman, jahil Agama, tidak faham Manhaj Salaf akan memilih jalan singkat menuduh, mencemuh dan menunding jari telunjuknya, sedangkan baki empat jarinya menghala ke dirinya sendiri.
Wallahul musta’an.
Oleh: Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman (hafidzahullah)
[ Admin ]