ZIKIR “ALLAHU ALLAH”

ZIKIR “ALLAHU ALLAH”

Ini contoh kurangnya ilmu golongan sufi yang kononnya ahli ibadah di kala mereka berzikir dengan zikir-zikir yang tiada contohnya daripada Sunnah Nabi.

Ternyata ia tidak membawa apa-apa makna kerana ia bukan jumlah ayat yang lengkap yang perlu kepada ‘mubtada’ (مبتدأ) dan ‘khabar’ (خبر).

Adapun menyebut: Allah Allah, ia adalah mubtada’ sahaja tanpa khabarnya.

Ini menjadikan jumlah ayatnya tergantung. Orang yang mendengar akan bertanya: Allah apa? Kenapa dengan Allah?

Kerana itu Nabi telah menunjukkan kepada kita sebaik-baik zikir seperti:

Allahu Akbar (Allah Maha Besar)

Alhamdulillah (Segala Puji bagi Allah)

Subhanallah (Maha Suci Allah)

Dan zikir yang paling agung iaitu:

La ilaha illaAllah (Tiada Tuhan yang Berhak Disembah Kecuali Allah)

Demikian juga dalam contoh yang lain, zikir ucapan mereka: Yahanana Yabanana

Yang tidak membawa apa-apa makna dalam bahasa Arab.

Akan ada yang mendakwa Yahanana ertinya: “Betapa beruntungnya kami”.

Demikian ‘takwil’ mereka yang tidak bersandarkan kepada apa-apa hujah selain daripada andaian dan rekaan semata-mata.

Ibarat anak kecil yang belum pandai bercakap mengatakan: “Gaga gugu” lalu ibunya menjelaskan bahawa ertinya: Saya nak susu.

Ironinya zikir-zikir ini dibawakan oleh kelompok-kelompok yang kononnya menitip beratkan nahu saraf bahasa Arab dalam pengajian pondok mereka.

Itulah kesan apabila meninggalkan Sunnah Nabi.

Akhirnya dibawakan zikir-zikir seperti “Allahu Allahu” yang sekalipun disebut sebanyak seribu kali, ia tidak akan menambahkan iman seseorang itu.

Kerana ia tidak membawa erti yang lengkap.

Maka perlu disambung: Allahu Akbar atau Allau Ahad (Allah Maha Esa) dan seumpamanya.

Baru ia membawa makna yang diharapkan mendapat pahala dengan mengucapkannya.

Akhirnya kita katakan:

Mana ‘sanad’ kamu memperoleh zikir seperti “Allahu Allahu” dan “Yahanana Yabanana” ini?

Wallahul musta’an.

[ Admin ]