PUASA HARI AHAD
PUASA HARI AHAD
Terdapat beberapa pandangan para ulama tentang puasa sunat pada hari Ahad secara bersendirian sama ada untuk puasa sunat mutlak ataupun puasa sunat bersebab seperti puasa Arafah.
Terdapat hadis di mana Umm Salamah berkata:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم السبت والأحد أكثر مما يصوم من الأيام ، ويقول : « إنهما عيد المشركين فأنا أحب أن أخالفهم »
“Sesungguhnya Rasulullah shallallahu alaihi wasallam berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad lebih banyak berbanding hari yang lain. Baginda berkata: Keduanya adalah hari perayaan orang musyrikin dan aku suka menyelisihi mereka.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan daripada riwayat beliau Al-Baihaqi turut meriwayatkannya daripada jalan Abdullah bin Muhammad bin Omar bin Ali, dia berkata: Ayahku mengkhabarkan kepada kami daripada Karib, bahawasanya dia mendengar Umm Salamah berkata: Lalu disebutkan lafaz hadis.
Imam Al-Hakim mengatakan: Sanadnya sahih dan Imam Az-Zahabi bersetuju dengan beliau.
Kata Imam Al-Albani: Kenyataan ini perlu perhatian lanjut kerana dalam sanadnya ada Muhammad bin Omar bin Ali dan beliau tidak masyhur (yakni tidak dapat dipastikan sejauh mana kethiqahan beliau).
Kemudian Imam Al-Albani menjelaskan kecenderungan beliau mendaifkan perawi tersebut dan juga anaknya Abdullah yang keadaannya sama seperti ayahnya, dan hanya Ibnu Hibban sahaja yang menthiqahkan si anak.
KESIMPULAN TARAF HADIS:
Hadis Umm Salamah ini LEMAH / DAIF.
Maka ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Lebih-lebih lagi ia bertentangan dengan hadis lain seperti:
“Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali dalam apa yang difardukan atas kamu”
yang disahihkan oleh Imam Al-Albani daripada riwayat Imam Ahmad dan yang lain.
PANDANGAN PARA ULAMA
Berdasarkan hadis Umm Salamah tadi, sebahagian ulama menganjurkan puasa hari Ahad kerana ia adalah perayaan orang Nasrani maka afdalnya adalah untuk menyelisihi mereka. Maka berpuasa pada hari ini adalah satu bentuk untuk menyelisihi mereka.
Sebahagian ulama lain berpandangan sebaliknya mengatakan bahawa puasa hari Ahad adalah makruh.
Ini kerana puasa adalah satu bentuk pengagungan. Oleh itu, sekiranya hari Ahad adalah hari perayaan orang kafir, maka berpuasa pada hari tersebut adalah satu bentuk pengagungan untuknya dan hal tidak dibenarkan Syarak.
KESIMPULAN HUKUM PUASA HARI AHAD:
Jika diperhatikan ternyata tiada hadis sahih yang menjelaskan tentang kedudukan puasa hari Ahad secara spesifik.
Pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah sunat kembali kepada hadis Umm Salamah yang daif.
Adapun yang mengatakan makruh, ia adalah ijtihad semata-mata tanpa sandaran dalil.
Akhirnya, puasa hari Ahad adalah seperti puasa pada hari Selasa dan Rabu, tiada anjuran berpuasa secara khusus mahupun tegahan makruh.
PUASA ARAFAH PADA HARI AHAD
Jika hari Arafah jatuh pada hari Ahad, maka dianjurkan berpuasa pada hari Ahad tersebut.
Dan tidak disyaratkan ia disertai dengan puasa hari Sabtu atau Isnin memandangkan syarat ini juga tiada sandaran dalilnya.
Wallahu a’lam.
[ Admin ]