BELAJAR PERLU BERSANAD

BELAJAR PERLU BERSANAD

Ini adalah kalam batil yang berdiri atas dakwaan tanpa bukti dan hujah.

Sedangkan Allah berfirman,

“Tanyalah Ahli Zikir (ulama) jika kamu tidak tahu.”

Seorang Muslim diperintahkan bertanya dan menuntut ilmu daripada sesiapa sahaja yang dilihat berilmu yang boleh menerangkan kepadanya kebenaran yang berteraskan kepada Al-Quran dan Hadis menurut kefahaman Salaf As-Soleh.

Tidak lebih daripada itu.

Mana datang syarat “perlu bersanad”?

Sanad apakah yang dimaksudkan di sini?

Jika subjek hadis, ya, kita maklum perlu ada sanadnya yang bersambung dan terdiri daripada perawi yang tepat dan dipercayai, sehingga sampai kepada Rasulullah.

Ini hadis.

Tetapi dalam subjek lain, apa relevan sanad tersebut?

Contohnya kita mahu belajar kitab Bulugh Al-Maram karangan Al-Hafiz Ibnu Hajar. Apakah perlu memilih guru yang mempunyai rangkaian sanad bersambung sampai ke Ibnu Hajar?

Apakah dengan sanad tersebut maka terjaminlah ilmu yang kita ingin pelajari daripada kitab Bulughul Maram itu?

Di sini kita katakan, betapa celarunya pemikiran golongan yang menitik beratkan sanad ini. Mereka menekankan sesuatu yang tidak relevan dan dalam masa yang sama mengabaikan aspek yang sangat penting dalam menuntut ilmu iaitu:

Akidah dan Manhaj si guru itu.

Sedangkan ini yang dipesan oleh ulama Salaf semisal Ibnu Sirin (wafat 110H) yang berkata:

“Sungguh ilmu ini adalah Agama, maka lihatlah daripada siapa kamu menuntut ilmu.”

Pastikan guru itu mempunyai akidah dan manhaj yang lurus berdiri di atas Manhaj Salaf.

Bukan guru yang bermanhaj khalaf yang mengajak kepada ilmu kalam, taklid mazhab, mengajak kepada penyembahan kubur, berzikir tari menari, kepartian, aliran Ikhwani, Tablighi, Sufi dan seumpamanya.

Ini yang perlu diutamakan.

Bukan hal sanad tak sanad yang tidak memberi apa-apa faedah atau apa-apa kelebihan. Malah, kebanyakan yang mendakwa sanad pada hari ini hanya dakwaan semata-mata yang tidak lagi boleh dibuktikan sejauh mana ia bersambung dan sejauh mana boleh dipercayai individu-individu dalam rangkaian sanad tersebut.

Moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang teguh melazimi Manhaj Salaf dalam menuntut ilmu.

– Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman (hafidzahullah) –

[ Admin ]