KONSERT ISLAM?

KONSERT ISLAM?

Konsert adalah budaya kafir Barat.

Masalahnya sebahagian Umat Islam kerana terikut dengan budaya Barat ini akhirnya mereka sedaya upaya nak memakaikan baju Islam padanya.

Hasilnya seperti yang kita lihat banyak perlanggaran Agama yang berlaku serta ketetapan-ketetapan Syarak diabaikan.

Apapun, budaya nyanyian di hadapan khalayak, muzik secara keseluruhannya, persembahan teater, lakonan, lawak jenaka berlebihan dan pergaulan bebas, kesemuanya menyalahi Syarak.

Syarak mengizinkan hiburan tetapi yang berbentuk bersahaja dalam lingkungan keluarga antara ibu bapa dan anak, bermanja dan bermain dengan mereka dan seumpamanya, dalam kerangka memupuk kasih sayang dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ini dibolehkan.

Adapun hiburan dalam skala besar-besaran, seluruh penduduk setempat atau negeri, hal ini jelas melampau dan sudah sampai ke tahap berlebih-lebihan.

Tidak pernah dalam sejarah kegemilangan Islam diadakan upacara seperti ini, baik zaman Nabi mahupun zaman Salaf Al-Soleh secara amnya.

Masakan Umat Islam dalam keadaan sedar akan ancaman musuh yang sentiasa memerhati dan mencari ruang dan peluang untuk menyerang, mereka akan leka dengan mengadakan program hiburan seperti ini. Tak mungkin sama sekali.

Umat Islam ketika itu terus dihidupkan dengan semangat jihad mempertahankan Agama dan menyebarkannya ke segenap pelusuk bumi.

Tidak hairan mengapa Umat Islam ketika itu hidup dalam kegemilangan manakala musuh gerun takut dengan mereka.

Adapun sekarang, sejak sekian lama keadaan telah berubah sesudah penyakit al-wahn cintakan dunia meresap dalam kalangan ramai Umat Islam.

Mereka tidak lagi bersemangat untuk mempertahankan Agama serta mempedulikan saudara mara mereka yang ditindas.

Mereka lalai dengan kehidupan dunia dan lebih gemar ‘berperang’ sesama mereka berebut jawatan dan harta.

Malah sampai sanggup menjatuhkan pemimpin Islam mereka semata-mata kerana pembahagian harta dunia.

Bumi Palestin sejak sekian lama dalam genggaman Yahudi, Umat Islam di Myanmar dibunuh, di China ditindas manakala satu persatu negara Islam jatuh dalam pergolakan perang saudara mengikut percaturan kuasa kafir Barat. Yang terakhir cubaan yang berlaku di Turki.

Dalam keadaan getir ini, musuh terus merancang bagi melalaikan Umat Islam antaranya dengan menghidangkan candu hiburan konsert nyanyian artis kafir mereka.

Selagimana Umat Islam tidak kembali kepada Ajaran Islam yang sebenar, menghayati Al-Quran dan Sunnah mengikut kefahaman para Sahabat, meninggalkan budaya hiburan konsert nyanyian yang melalaikan selagi itulah nasib Umat Islam akan terus merundum.

Wallahul musta’an.

– Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman (hafidzahullah) –

[ Admin ]